N A V I G A T I O N M E N U

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

Sunday, March 20, 2011

Fatwa Tentang Penggunaan Alcohol Free Arabian Perfume

FATWA MAJLIS AGAMA ISLAM KEBANGSAAN TENTANG PERFUME BERALKOHOL

Alkohol terdiri daripada berbagai-bagai bahan kimia iaitu etanol atau etil alkohol, metanol, dan lain-lain lagi. Dalam minuman keras, etanol ialah bahan yang menyebabkan mabuk dan ia merupakan bahan yang terbanyak sekali dicampurkan.

Setiap arak mengandungi alkohol, dan alkohol itu tidak semestinya arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak maka hukumnya tidak najis dan tidak haram diminum.

Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak samada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah HARAM diminum.Minuman yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bukan yang memabukkan dan tidak sama cara dengan proses penyediaan arak adalah HALAL diminum.

Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan HALAL dimakan.

Ubat-ubatan dan wangian yang ada kandungan alkohol adalah DIMAAFKAN.

Keterangan:
Proses pembuatan minuman ringan tidak sama dengan pembuatan arak. Oleh itu minuman ringan HALAL diminum kerana ia tidak memabukkan dan tidak memberi mudharat kepada orang yang meminumnya. Menurut kitab “AL-FIQH AL-MUZAHIBIL ARBAAH” dalam bab “An-najasat  juzu 1″, alkohol yang dimasukkan ke dalam minyak wangi untuk menahan minyak wangi agar tahan lama atau untuk menaikkan roti adalah HARUS. Bersandarkan kepada kenyataan ini boleh dikiaskan kepada penggunaan alkohol dalam minuman ringan. Jawatankuasa Fatwa telah memberitahu bahawa alkohol ialah nama yang digunakan di dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan berfungsi (-OH atau hidroksil iaitu oksigen terikat kepada hidrogen).

Methyl alcohol (metanol) adalah alkohol dari kayu, ethyl alcohol (etanol) adalah alkohol dari buah-buahan. Metanol tidak digunakan untuk minuman kerana ia merupakan racun yang kuat, manakala etanol pula digunakan sebagai campuran di dalam minuman keras. Penyediaan alkohol boleh dibuat menerusi 2 cara iaitu penyediaan dalam makmal dan penyediaan dalam industri.

Alkohol amat berguna sebagai bahan aktif dalam minuman, makanan dan ubat-ubatan dan sebagai bahan pelarut seperti seperti terkandung di dalam alat solek dan wangi-wangian. Pada umumnya ALKOHOL adalah bahaya dan beracun, ia ada daya pembunuh dan memabukkan serta merosakkan anggota tubuh badan. ARAK adalah memabukkan dan ia adalah HARAM seperti sabda Nabi S.A.W. “Setiap yang memabukkan itu haram. Setiap yang memabukkan itu arak. Setiap yang memabukkan itu arak dan setiap yang memabukkan itu haram” (HR MUSLIM). Lembaga Fatwa Al-Azhar berpendapat bahawa alkohol itu tidak najis, manakala arak tetap najis. Setelah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar maka Jawatankuasa mengambil keputusan bahawa minuman ringan yang dibuat sama cara nya dengan arak adalah HARAM, alkohol yang terjadi sampingan dari proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol adalah HARUS dan dimaafkan.




**********
HUKUM PERFUME BERALKOHOL
1) Harus dan sah solat, walaupun menggunakan minyak wangi beralkohol. Ini kerana bukan semua alkohol adalah najis. Para Ulama menyebut alkohol najis berdasarkan hadith nabi yang memberi isyarat bahawa arak  itu najis.  Ia diambil dari ayat al-Quran yang menyebut :
“Arak, tenung dan tilik nasib, lemparan kayu nasib adalah kekotoran (’rijs’) dari hasil kerja Syaitan ” (Al-Maidah; 90).

Dan dari hadith oleh Abu Tha`laba al-Khushani di dalam sohih al-Bukhari dan Muslim:
“Wahai Nabi Allah, kami tinggal di tanah Ahli Kitab, bolehkah kami makan & minum di dalam bekas mereka?” Nabi membalas : “Sekiranya kamu mendapati bekas selain bekasan mereka, maka jangan  menggunakannya, sekiranya kamu gagal mendapatkan selainnya, maka hendaklah kamu basuh bekas itu dahulu dan kemudian makanlah menggunakannya”

Imam An-Nawawi (Syarah Sohih Muslim 13/14:86) dan Imam As-Shawkani ( Naylul Awtar, 1/71) menyebut “Maksud larangan makan menggunakan bekas-bekas mereka menunjukkan apa yang mereka masak dan minum menggunakan arak adalah kernana ia dihukum sebagai najis”
Hasilnya kesemua ulama empat mazhab sebelum itu pun telah menyebut bahawa arak adalah Najis.
1) Mazhab Hanafi, menurut kitab al-Fiqh al-Islami wa adillatuh (6/15) menyebut bahawa jika terdapat setitik arak sebesar syiling di baju seseorang, maka solatnya menjadi batal.
2) Mazhab Maliki, disebut oleh Ibn Rushd dalam Bidayat al-mujtahid (2/125); “Tiada satu jenis pun dari alkohol, bangkai dan najis boleh digunakan kecuali untuk tujuan perubatan”
3) Mazhab Shafi`i, arak disebut najis sebagaimana disebut oleh Imam An-nawawi di dalam al-Majmu` 2/569-570 (dipetik dari Imam al-Ghazali);
4) Demikian juga menurut mazhab Hanbali ( Ibn Quddama, al-Mughni, 9/152).

Benar 70 % atau lebih dalam arak adalah alkohol, tetapi ia jenis “Denatured alcohol” yang telah diproses untuk tujuan memberikan kemabukkan. Sila rujuk  Denatured Alcohol . Adapun, alkohol yang ada di dalam minyak wangi adalah bukan jenis ethanol yang sama dengan apa yang ada di dalam arak, ia menggunakan ‘Absolute ethanol’ iaitu satu jenis alkohol dengan hanya sedikit air dan campuran lain (maka kesannya juga berbeza dari kesan arak, malah ia tidak lagi digelar arak, barangsiapa yang meminumnya pula, ia mungkin boleh membawa seseorang itu ke alam barzakh dengan segera ! dan bukannya mabuk.

Kesimpulannya, menggunakan minyak wangi beralkohol adalah dikira suci dan tidak menjejaskan solat seseorang. Itulah pendapat saya berdasarkan hujjah di atas dan demikian juga pandangan yang diberi oleh guru-guru saya seperti Prof. Dr Abd Fatah Idris melalui kitabnya dan Syeikh Prof Dr Fadhal Hassan Abbas melalui kuliahnya.

Source: http://parfvmetc.wordpress.com/fatwa-tentang-perfume/

0 comments:

Post a Comment